Sunday, July 27, 2008

Latar Belakang Keris Mas

Kamaludin Muhamad, atau lebih dikenali sebagai Keris Mas ,adalah salah seorang sasterawan negara yang tersohor.Beliau dilahirkan di Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922 dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong; Tawalih School, Sumatera; Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera; dan Pitman College, Singapura.

Pujangga ini pernah berkhidmat di akhbar Melayu Raya dan Warta Negara sebelum berpindah ke Utusan Melayu. Beliau pernah juga berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka sehinggalah bersara pada tahun 1977.

Keris Mas dalam berkarya telah menghasilkan 60 buah cerpen dengan cerpen sulungnya berjudul Wasiat Orang Bangsawan, tersiar di majalah Suluh Malaya (1946). Semua cerpen-cepennya terkumpul dalam antologi cerpen: Mekar dan Segar (1959), Dua Zaman (1963), Patah Tumbuh (1963) dan Pertentangan (1968).Antara novel penghasilan Keris Mas ialah Pahlawan Rimba Malaya (1946), Korban Kesuciannya (1949), Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1983) dan Rimba Harapan (1985)

Keris Mas atau Kamaludin Muhamad kembali kepada yang Maha Kuasa pada 9 Mac 1992.

Perjalanan Keris Mas sebagai sasterawan dapat didasarkan pada empat anjakan kepengarangan. Pertama peringkat kehadiran diri, iaitu antara 1946 hingga 1950. Dalam era ini banyak cerita berputar sekitar soal cinta yang menunjukkan tendensi zaman yang romantis. Zaman permulaan ini, adalah dalam proses pencarian subjek dan diri. Seperti juga anak-anak muda yang lainnya, memiliki serangkaian kisah cinta, K eris Mas juga terdorong menghasilkan teks-teks percintaan. Malah tematik dan subjektiviti cerpen Melayu dewasa itu, menjadikan cinta sebagai persoalan perdana. Ini bererti aroma romantisisme kuat menguasai pencerpenan Melayu.

Kedua, peringkat perlanggaran dan pengukuhan antara 1950 hingga 1957, iaitu konteks membina kekhasan diri. Ini memperlihatkan zaman prolifik dalam pembaharuan dan pematangnya. Peringkat ini menyaksikan diri Keris Mas sebagai cerpenis.

Ketiga, zaman pascamerdeka, Keris Mas mula kurang berkarya, tetapi ia sudah mempunyai kepengarangan yang idealistik dan memiliki individualisme. Karya-karya yang dihasilkan mantap dan kuat. Pada waktu ini, ia banyak terlibat dalam pengurusan seperti urusan Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengurus beberapa hadiah sastera tanah air.

Keempat, peringkat selepas persaraan. Keris Mas pernah bertugas sebagai Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: